Monday, April 6, 2009

Kisah wanita yang beriman dan anak kecilnya~

"Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang"

Kisah ini adalah mengenai seorang wanita yang sentiasa memelihara keimanannya walau dimana sahaja beliau berada yang berlaku suatu masa dahulu. Pada suatu hari, wanita itu keluar bermusafir bersama-sama dengan seorang anaknya yang masih kecil. Mereka bermusafir dengan menaiki sebuah kapal. Semasa di dalam perjalanan, tiba-tiba ditakdirkan oleh Allah s.w.t ribut melanda. Ribut tersebut telah menghentam kapal yang dinaiki oleh mereka berdua.

Habis karamlah kapal yang mereka naiki dan hanya tinggal serpihan2 kayu dilautan yang sangat luas milik-Nya. Namun kasih sayang Allah menyelamatkan wanita tersebut dan anaknya. Beliau berjaya menaiki sebuah serpihan kayu yang agak besar. Maka duduklah wanita tersebut bersama anaknya menanti kemungkinan ada kapal lain yang lalu untuk menyelamatkan mereka.

Semasa berada di atas serpihan papan tersebut, beliau terlihat seorang lelaki sedang terkapai2 cuba untuk menyelamatkan diri daripada lemas. Kerana kasihankan lelaki tersebut, wanita itu membantu dan mempersilakan lelaki tersebut menaiki serpihan kayu bersama-samanya. Setelah berjaya menaiki serpihan kayu tersebut, lelaki yang masih lemah itu mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana menyelamatkan nyawanya.


Detik demi detik masa berlalu, lelaki tadi telah pulih daripada keletihan yang dialami olehnya. Melihatkan kepada wanita yang duduk bersama-samanya di atas serpihan papan itu, timbul satu niat jahat dalam hati lelaki tersebut. Syaitan telah berjaya menggoda lelaki tersebut. Lantas lelaki itu mengajak wanita tersebut melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Lelaki itu memujuk wanita tersebut dengan mengatakan bahawa tidak ada sesiapa pun yang tahu dan nampak perbuatan mereka.

Namun, pujukan tersebut ditolak oleh wanita itu. Wanita itu tetap dengan pendiriannya untuk tidak melakukan perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t itu. Lelaki itu menjadi berang lantas bertanya, " Adakah engkau menolakku kerana anakmu?". Tanpa berfikir panjang, lelaki
tersebut merampas anak wanita itu dan mencampakkannya di dalam laut. Maka, menangislah si ibu teresak2 mengenangkan nasib anaknya itu.

Dalam kesedihan yang melanda, beliau tetap bermohon kepada Allah agar diselamatkan anaknya. Ditakdirkan Allah, sebuah kapal telah melalui kawasan wanita tersebut. Lalu, anak-anak kapal tersebut telah menyelamatkan wanita itu dan membawanya ke atas kapal. Wanita itu tidak putus-putus mengingatkan tentang nasib anaknya dengan linangan air mata kesedihan seorang ibu.

Tiba-tiba, beliau terdengar suatu suara tangisan. Beliau cuba mengamatinya dan beliau merasakan seolah-olah beliau mengenali suara esak tangisan itu. Beliau tidak mengendahkannya kerana beliau rasakan ianya hanyalah mainan perasaan beliau yang terlalu memikirkan tentang anaknya. Namun, suara tangisan itu tetap kedengaran. Beliau memerhatikan sekekliling untuk mencari dari manakah datangnya suara itu.

Tiba-tiba, beliau terpandangkan kepada sekumpulan manusia yang berada diatas kapal itu. Beliau mendekati mereka. Alangkah terkejutnya wanita itu, anak kecil di dalam gendongan mereka itu adalah anaknya yang telah dicampakkan ke laut sebelum itu. Lantas berderailah air mata keibuan dengan penuh rasa kesyukuran kepada Allah s.w.t. =)

* Pengajaran cerita:
Walau dimana jua kita berada, ingatlah bahawa Allah s.w.t sentiasa memerhatikan kita. Peringatan buat diri yang sering alpa ini dan buat sahabat2 sekalian, Sama2lah kita pelihara iman kita dimasa manusia melihat dan dimasa tidak ada manusia yang melihat kita. Kerana Allah senantiasa melihat kita. Selain itu juga, kebergantungan kita hendaklah kita letakkan 100% hanya kepada Allah.

Janganlah kita bergantung kepada selain Allah kerana ianya membawa kepada syirik. Na'uzubillah... Dan yakinlah! Jika kita meletakkan sepenuh kepercayaan dan kebergantungan kita kepada Allah, InsyaAllah seberat mana pun ujian atau sebesar manapun ujian yang menimpa kita, kita tidak akan mudah menyerah dan berputus asa. Kerana kita yakin bahawa Allah itu sentiasa ada untuk kita dan sentiasa memberikan yang terbaik buat kita..=)

Ana teringatkan satu ayat dari seorang sahabat mengenai ujian. Pandanglah segala nikmat yang telah Allah s.w.t berikan kepada kita nescaya tak terhitung banyaknya nikmat dari Allah. Sejak dari kita mula melihat dunia sehingga sekarang, berapa banyak nikmat yang Allah dah berikan kepada kita? Namun, kenapa kita cepat berpaling dan mudah putus asa dengan ujian yang hanya sedikit dari selautan nikmat yang telah Allah berikan? Sama2lah kita muhasabah balik diri kita. Semoga kita menjadi hamba-Nya yang bersyukur. Amiin..

Wallahua'lam..
Wassalam...

No comments: